Thursday, April 9, 2009

Dunia Percintaanku

Sebagai manusia kita tidak terlepas dari terjebak di dalam alam percintaan. Dunia percintaan sememangnya indah. Mencintai dan dicintai, merindui insan tersayang merupakan keindahan yang sukar digambarkan.

Aku mengenali lelaki seawal umur 10 tahun. Terlalu awal bukan!! Kami bertemu semasa kami sama-sama mengaji Al-Quran di kampung. Ketika itu usianya 2 tahun lebih tua dariku. Entah aku sendiri tidak pasti, adakah itu cinta. Tapi pada saat itu, aku merasa seronok dan gembira dengan kehadirannya. Kami sentiasa berutus surat melalui adiknya. Bila tiba waktu mengaji, itulah waktu yang kutunggu-tunggu. Aku akan bersiap seadanya. Perhubungan kami berjalan selama lebih kurang 2 tahun tanpa pengetahuan abah. Tapi akhirnya abah dapat menghidu juga perhubungan kami. Semuanya kerana kucingku. Kucing kesayanganku telah melepaskan hajatnya di atas katil. Semasa abah membersihkan katil, beliau terjumpa semua surat-surat yang tersimpan di bawah tilam. Apalagi, aku disoalsiasat oleh abah. Semestinya aku menafikan perhubungan itu. Kawan aje, itulah jawapan yang terpacul dari mulutku. Sememangnya dia bukan jodohku. Perhubungan kami terputus ditengah jalan. Dia terpaksa mengikut keluarganya berpindah.

Cintaku yang kedua hadir semasa aku menanti hari menduduki peperiksaan SPM. Kawan baikku, Sharena yang memperkenalkan kami. Pada masa itu, aku sendiri tidak menjangkakan kami akan bercinta. Din, sihitam manis yang menjadi pujaanku. Memandangkan kami masih belajar, aku tidak berani keluar dengannya. Hanya surat menjadi penghubung cinta kami, sehinggalah selesai menduduki SPM dan berhijrah pula ke Alor Setar. Ketika inilah aku bertemu pula dengan Azuli. Walaupun Azuli menunjukkan minat padaku, aku berterus terang tentang hubungan dengan Din. Nampaknya Azuli memahami keadaaanku, menerima aku hanya sebagai sahabat. Hubungan jarak jauh, ada ketikanya berjaya dan ada juga sebaliknya. Ternyata hubungan aku dengan Din semakin sepi. Dan akhirnya terputus jua.

Dan semestinya Azuli antara orang yang gembira dengan berakhirnya cintaku ini. Aku kagum dengan kesetiaannya menunggu cintaku. Azuli telah menamatkan pengajiannya di Jitra dan mendapat pekerjaan sebagai juruteknik di Subang. Aku pula mula bekerja di Alor Setar. Hubungan kami semakin akrab walaupun berjauhan. Surat dan telefonlah pengikat cinta kami. Pernah sekali dia sanggup turun ke Alor Setar, semata-mata ingin berjumpa denganku. Namun, dek kerana perasaan cintanya yang mendalam, mengundang rasa cemburu. Azuli mula memaksa aku mengikutnya bekerja di tempat yang sama. Dan mula membincangkan tentang perkahwinan. Pada masa itu, aku belum bersedia ke arah itu dan aku mula rimas dengan tindakannya. Sedalam mana cinta dan kasih kita pada seseorang, sememangnya kita tidak mampu melawan takdir tuhan.

Pada satu malam, aku menerima panggilan telefon dari seorang yang tidak aku kenali. Mencari gadis bernama Ina. Pada fikiranku, lelaki ini tersalah nombor. Tak disangka-sangka lelaki tersebut masih menghubungiku pada malam seterusnya berturut-turut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Sadat, pelatih Tentera Udara. Dia ingin membawa aku ke Majlis Ladies Night di kem tentera berhampiran. Dalam fikiran aku, lelaki ini terlalu berani. Aku menolak ajakannya. Dan itulah detik perkenalanku dengan suami. Kami mula bertukar-tukar nombor telefon. Niatku hanya suka-suka dan ingin mempermainkannya. Kami mula mengaturkan perjumpaan. Dari perjumpaan pertamalah, aku mula menyukainya. Tapi aku masih lagi bercinta dengan Azuli.

Selepas 2 bulan aku berkenalan dengan suamiku, aku ditawarkan bekerja di Kuala Lumpur. Aku mula merasa sedih dan merindui seseorang. Semasa bekerja di Kuala Lumpur, hubungan kami semakin erat. Aku sudah dikira menduakan cinta. Perasaan cinta pada Azuli semakin pudar. Dan akhirnya aku memutuskan perhubunganku dengan Azuli walaupun aku tahu dia masih menyayangiku. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Berkuasa, jodoh pertemuan pasti ditanganNya. Melihat kepada kesungguhannya yang sentiasa mengambil berat dan kerap mengunjungiku setiap hujung minggu di Kuala Lumpur, menyebabkan aku merasakan dialah bakal suamiku. Aku mula memperkenalkannya kepada keluarga Ngah di Alor Setar. Dan suamiku juga pernah datang berjumpa abah di Kota Bharu. Perwatakannya yang pandai mengambil hati orang tua disenangi oleh seluruh keluargaku.

Tanggal 15 Mei, 1998 keluarga suamiku menghantar pinangan. Kini aku sudah menjadi tunangan orang. Dalam tempoh pertunangan itu, kami tidak dapat lari dari dugaan. Setelah pelbagai dugaan ditempuhi, akhirnya termakbul juga impian kami mendirikan mahligai. Dalam tempoh 1 tahun lebih perhubungan ini berlangsung, kami disatukan dalam majlis yang meriah mengikut adat istiadat tentera. Tarikh keramat 27 November, 1998 menjadi detik yang terindah buat diriku dan suami. Kini aku bahagia melayari rumahtangga bersamanya dan diserikan dengan 3 orang permata hati. Aku berdoa dan berharap semoga perkahwinan ini berkekalan abadi hingga hujung nyawa.


Thursday, March 5, 2009

Aku Penjawat Awam

Dan akhirnya setelah beberapa atau mungkin berpuluh-puluh kali memohon kerja dengan kerajaan, aku ditawarkan jawatan Pembantu Perpustakaan. Aku perlu berhijrah ke Kuala Lumpur. Sedih rasanya perlu meninggalkan Alor Setar. 1 November, 1996 tarikh keramat aku perlu melaporkan diri di Perpustakaan Negara Malaysia. Rupa-rupanya aku ditempatkan di Perpustakaan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR). Sebuah perpustakaan khusus di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ketua Pustakawan (masa itu) Pn. Zainab, dibantu oleh Pustakawan Pn. Anisah, En. Lee, Anggamah, Gurnam, Abg Mat dan Suhaimi. Di sini aku belajar mengkatalog buku dan audio-visual, index majalah dan kerja-kerja berkaitan perpustakaaan. Barulah aku tahu begini rupanya kerja-kerja di belakang tabir perpustakaan.

Selama 6 tahun bertugas di IDFR, dari bujang hingga beranak dua. Bermacam-macam kursus aku hadiri, bertimbun-timbun pengalaman aku perolehi, akhirnya aku memohon berpindah ke Lumut, Perak. Demi tanggungjawabku sebagai isteri anggota tentera, aku terpaksa akur walaupun sayangku pada IDFR masih menebal. 16 Disember, 2002 aku melaporkan diri di Kolej Tentera Laut DiRaja (KTLD), KD Pelandok. Bertugas di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia memberi satu pengalaman yang berlainan. Di perpustakaan KTLD, kami tak perlu menguruskan pembelian buku atau bahan perpustakaan. Kami hanya menyenaraikan buku-buku yang perlu ditambah dan menghantar senarai tersebut ke Perpustakaan MINDEF. Apabila buku atau bahan yang telah dikatalog diterima, kami hanya perlu merekodkan di dalam buku rekod perolehan. Walaupun begitu, ada tugas-tugas lain yang perlu aku jalankan. Dan ternyata detik-detik bekerja bersama Kak Ros, Azmar, Aju, Kak Yan pasti tidak akan berulang. Baru sahaja aku berada di Lumut 2 minggu, suamiku diarahkan berkursus di Kuantan. Terpaksa bersendirian membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi. Tak sampai setahun aku di sana, aku terpaksa berpindah lagi. Kali ini mengikut suami ke Butterworth pula.

Tanggal 16 Januari, 2004, hari pertama aku di Kolej Kejururawatan Bukit Mertajam (KKBM). Sebuah institusi latihan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang melatih bakal-bakal jururawat. Nampaknya tanggungjawab kali ini lebih besar. Aku satu-satunya kakitangan perpustakaan di situ. Sebelum ini perpustakaan diuruskan oleh pengajar jururawat, Pn. Yong. Namun begitu, aku kagum dengan sikapnya yang berusaha belajar menguruskan perpustakaan, walaupun bukan dalam bidang tugas beliau.

Perpustakaan KKBM hanya sebuah perpustakaan yang kecil sahaja. Kebanyakan bahan dan koleksi yang terdapat di situ dalam bidang kejururawatan, kebidanan dan sakit puan. Tetapi tugas pengkatalogan dan pengkelasan bahan amat berbeza . Cabaran pertama yang perlu aku hadapi adalah belajar mengkatalog bahan menggunakan sistem pengkelasan National Library of Medicine (NLM). Dan cabaran seterusnya adalah meyakinkan pengetua kolej (waktu itu), yang selama ini memandang rendah dan tidak mempedulikan perpustakaan. Memang aku akui bahawa terlalu banyak dugaan yang ditempuhi pada tahun pertama aku bertugas di sana. Akhirnya di bawah pengurusan pengetua baru, Cik Khor Ah Choo, hasil kesungguhan dan kecekalan menguruskan perpustakaan bersendirian, aku telah dianugerahi dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Menitis airmata kegembiraan, melafazkan syukur padaNYa. Akhirnya usaha aku selama ini dipandang dan diterima. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat semua warga KKBM yang banyak membantu dan memberi kata semangat buatku.

Benarlah kata pujangga setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Dengan berat hati aku perlu melangkah pergi, meninggalkan Bukit Mertajam. Dan untuk kesekian kalinya, suamiku ditukarkan pula ke Labuan. Semakin jauh nampaknya perjalanan aku kini. Perlu ke seberang lautan pula. Memandangkan pada masa itu tiada perjawatan kosong di perpustakaan berhampiran dan anak sulungku pula perlu memulakan persekolahan pertamanya, aku terpaksa memohon cuti tanpa gaji. Permohonan selama 6 bulan telah diluluskan. Tiba masa dan ketikanya aku berangkat ke Pearl of Borneo, nama julukan Pulau Labuan.

Di Labuan, aku menetap di Kuarters Pegawai TUDM Membedai. Inilah pertama kali aku tinggal di persekitaran kuarters kerajaan. Selama sebulan menjadi surirumah sepenuh masa, akhirnya aku menerima berita yang kutunggu-tunggu selama ini. Aku diarahkan melapor diri di Kolej Matrikulasi Labuan (KML) pada 5 Februari, 2007. Perjalanan antara KML dengan tempat tinggalku mengambil masa 30 minit. Satu perjalanan yang panjang juga bagiku. Namun demi tugas aku perlu menggalasnya dengan hati yang tabah. Perpustakaan KML sebuah perpustakaan yang agak besar. Mempunyai koleksi terkini buku lebih kurang 23,00 naskah, tidak termasuk dengan bahan-bahan lain seperti majalah, journal, suratkhabar dan bahan audio-visual. Dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Unit Perolehan & Pendokumentasian serta Unit Perkhidmatan & Sirkulasi. Kakitangannya terdiri daripada 11 orang, dengan diketuai oleh Pustakawan Cik Jaini Onggai, dibantu oleh Pen. Pegawai Perpustakaan En. Francis Labi, 6 Pem. Perpustakaan termasuk aku dan 3 Pem. Pejabat.

Tahun pertama dan kedua di KML, aku ditugaskan di Unit Perkhidmatan dan Sirkulasi. Menguruskan dan memantau Bilik Remaja Siber. Sebuah bilik yang menyediakan perkhidmatan komputer dan internet. Berdepan dengan cabaran dan dugaan daripada pengguna perpustakaan yang rata-ratanya terdiri dari pelajar lepasan SPM. Belum pun sampai sebulan di sini, pada 25 Februari, 2007, aku perlu menghadiri satu temuduga kenaikan pangkat Pem. Perpustakaan Kanan di Perpustakaan Negara Malaysia. Sudah ditakdirkan rezeki tidak menyebelahi, aku gagal dalam temuduga tersebut. Namun semangat untuk maju ke hadapan dan berjaya masih tertanam di sanubari. Dan kini di tahun 2009, aku telah ditukarkan ke Unit Perolehan & Pendokumentasian di bawah pengurusan pustakawan baru, Pn. Lorita Gadol. Kali ini aku ditugaskan mengurus dan mengkatalog bahan-bahan terbitan bersiri seperti majalah, journal dan buletin-buletin. Banyak tugasan yang perlu aku lakukan, namun aku bertekad akan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Monday, February 16, 2009

Dunia Pekerjaanku

Kata orang, jauh perjalanan, luas pandangan. Mungkin itulah ungkapan yang membuatkan aku bersetuju tinggal bersama Ngah sementara menunggu keputusan SPM. Sebenarnya aku pun tak tahu untuk selama mana perlu berada di Alor Setar.

Di sana aku mula mengisi masa lapangku dengan belajar menjahit dan menaip. Seronok juga. Selain dapat mempelajari sesuatu yang baru, aku juga mengenali kawan-kawan baru. Aku belajar menjahit di sebuah kedai jahit di Stesen Bas Baru. Setiap hari aku akan menaiki bas dari rumah Ngah di Pumpong. Selesai belajar menjahit, aku menyambung belajar menaip pula di kawasan yang sama. Itulah rutin harian ku. Mulai hari itu, aku sudah dapat menyediakan beberapa pasang baju. Ada juga jiran dan saudara sebelah Ayah Ngah (pakcik) menempah baju dariku.

Apabila keputusan SPM keluar, aku pulang semula ke Kota Bharu. Aku memohon melanjutkan pelajaran aku di ITM (sekarang UiTM). Memandangkan rezeki aku bukan di situ, aku kembali semula ke Alor Setar. Aku cuba memohon pelbagai jawatan dalam kerajaan. Selain itu Ngah sentiasa mendorong aku supaya memohon kursus perguruan. Setelah 2 kali mencuba, masih tiada rezeki aku menjadi cikgu.

Satu hari Ngah memberitahu ada jawatan kosong sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Memandangkan aku masih belum mempunyai kerja tetap, aku bersetuju bekerja di sana. Edaran Indera, syarikat yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital-hospital kerajaan. Bos aku Tn. Sheikh Razak seorang ahli farmasi. Isteri beliau juga seorang ahli farmasi dan memiliki farmasi di Sg. Petani. Syarikat tersebut baru sahaja didaftarkan. Ini bermakna aku merupakan kakitangannya yang pertama. Dengan gaji permulaan RM300 sebulan, sudah memadai bagiku.

Hari pertama aku melaporkan diri, aku diperkenalkan dengan pembantu stor, Ad. Rupa-rupanya aku tidak keseorangan. Aku diamanahkan untuk menjalankan kerja-kerja perkeranian dan perakaunan. Di Edaran Indera juga aku mengenali Yam, Azhar, Adira, dan beberapa pekerja lain (Dah terlupa nama). Tak lupa juga Kak Ros, kerani yang bekerja di syarikat yang berhampiran. Aku dan Yam berkawan rapat. Kemana-mana sahaja kami berdua. Hasil bekerja di sana juga aku dapat membeli sebuah motorsikal Honda Ex5. Bangga rasanya. Di sana jugalah aku mengikuti kelas komputer yang dibayar sepenuhnya oleh syarikat aku bekerja. Aku juga telah beberapa kali dinaikkan gaji dan pangkat. Jawatan terakhir aku adalah Eksekutif Pentadbiran. Pejam celik, pejam celik 4 tahun juga lah aku bekerja di sana.


Tuesday, January 20, 2009

Zaman Remajaku

Sekitar tahun 1988 hingga 1992, aku menyambung persekolahan peringkat menengah di Sek. Men. Puteri, di bandar Kota Bharu. Sekolah tersebut berada di kawasan Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab. Kesemua pelajar adalah perempuan. Aku memilih untuk belajar dalam aliran Perdagangan. Rutin sebagai seorang pelajar berjalan seperti biasa. Tapi ada satu cerita yang lucu dan menyedihkan terjadi padaku.

Pada ketika itu musim tengkujuh. Hujan renyai-renyai. Seperti biasa aku menunggu bas di pondok depan jalan raya di kampungku. Keadaan pondok masa tu agak tinggi dan kedudukan tangga pondok itu curam. Dalam pada termenung menunggu tiba-tiba aku nampak kelibat bas. Aku terus berdiri dan menuju ke arah tangga pondok. Entah macamana kainku tersangkut pada tangga pondok bas tersebut. Apalagi terjatuh ke tanah la. . . . Kain sekolah terkoyak. Malunya!! Bas dah terlepas pula. Tak jadi aku pergi sekolah hari itu. Balik ke rumah dengan muka sedih.

Itu antara memori lucu dan memalukan. Tapi ada juga yang menyeronokkan. Semasa aku di Tingkatan 4P, aku bersama Sharmila, Samizan dan Siti Esah berkenalan dengan beberapa pelajar lelaki dari Sek. Men. Putera. Kami kerap juga berkumpul dengan mereka. Belajar dan menghabiskan masa bersama. Mereka cuba padankan aku dengan salah seorang pelajar lelaki tersebut. Namanya Juraimi. Aku sendiri pun tak pasti apa perasaan aku masa tu. Cuma yang aku tahu hanya seronok meluangkan masa bersama mereka.

Sesungguhnya tiada apa yang paling indah selain dari kenangan semasa di alam persekolahan. Aku masih ingat dan akan ingat detik-detik bersama kawan-kawan ku Shareena, Noyi dan Sunni. Dan tak lupa juga semasa belajar matematik bersama Cikgu Rahimah.

Zaman Persekolahanku

Aku mula mengenali alam persekolahan ketika usiaku 6 tahun. Abah memberitahu sekolah pertamaku adalah Tadika Balai Polis. Tetapi aku tak lama bersekolah di sana kerana mengikut Ngah (makcik) belajar di Sek. Keb. Kemumin. Beliau merupakan guru di sana. Aku ditempatkan di Darjah 1. Bermulalah hidupku sebagai anak cikgu. Itu yang selalu pelajar lain gelarkan. Ada juga beberapa orang guru lain membawa anak mereka bersekolah di situ. Aku mempunyai seorang kawan rapat. Dia juga anak seorang guru. Rambutnya kerinting, perang dan berkulit cerah.

Diam tak diam, sudah 5 tahun aku belajar di sana. Bermula dari usia 6 tahun hingga Darjah 4. Aku merupakan pelajar yang pandai. Selalu juga aku mendapat tempat teratas dalam setiap peperiksaan. Abah selalu menghadiahkan aku sesuatu. Antaranya adalah jam tangan digital jenama Alba. Tahun 1985 merupakan tahun terakhir aku belajar di sana. Tapi kenangan bersama kawan-kawanku tak akan ku lupa. Aku berharap satu hari nanti aku akan berjumpa kembali dengan Suhaili Mat Hussan, Nik Mas Ayu, Shameela Shafie, Rozita Othman, Azura dan ramai lagi.

Pada tahun 1986, Ngah mengajak aku tinggal bersamanya di Kedah. Ngah telah berkahwin dan menetap di sana. Kerana sayangkan Abah, aku selalu buat perangai setiap kali aku perlu pulang ke Alor Setar. Di sana aku ditempatkan di Sek. Keb. Taman Uda. Aku belajar di Darjah 5 Mawar. Ngah yang memilih sekolah itu. Kerana katanya sekolah itu berhampiran dengan rumah ibu mertuanya dan memudahkan aku. Setiap hari Ngah akan menghantar aku dan anak-anaknya di sana. Aku akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama kawan rapatku. Dalam tahun itu juga, aku akan menduduki Ujian Penilaian Darjah 5. Namun begitu, keputusan yang aku terima tidak membanggakan. Setelah 1 tahun berada di Alor Setar, aku kembali ke Kota Bharu. Aku tak betah tinggal di sana. Mungkin juga rindukan Abah. Tapi kenangan bersama kawan-kawanku Rohaiza Ismail, Zaidaty Azira, Hazma Salleh, NorAzlina Abd. Aziz (beberapa nama yang ku ingat) tetap terpahat di ingatanku.

Kepulanganku ke Kota Bharu membuka lembaran baru bagiku. Kerana aku akan menetap bersama abah dan keluarga barunya. Aku perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza. Abah menghantar aku belajar di Darjah 6 di Sek. Keb. Rambutan Rendang (sekarang Sek Ren. Keb. Seri Cempaka). Banyak memori pahit manis ketika belajar di sana. Kepada guru-guru yang pernah mengajar aku antaranya Cikgu Hanapi, Cikgu Adnan terima kasih diucapkan. Jasamu kan ku kenang. Kepada kawan-kawan yang kukenal Rohana Mat Daud, Suraya Mokhtar dan ramai lagi, kalian tetap dalam ingatan.

Monday, January 19, 2009

Zaman Kecik-kecik Dulu

Hari ini 19 Januari, 2009, aku terpanggil untuk mencoretkan kisah hidupku. Sekadar untuk berkongsi cerita. Suka duka dalam kehidupan, pahit manis menempuh kedewasaan.

Tanggal 19 Januari, aku dilahirkan di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Anak pertama dari keluarga yang sederhana. Abah seorang buruh LLN ketika itu, mama surirumah sepenuh masa. Aku memang anak kesayangan mereka. Aku pernah diberitahu mama begitu menyayangiku. Tak banyak yang aku ingat kenangan semasa kecilku. Tapi ada beberapa peristiwa yang terpahat di ingatan. Aku pernah terjatuh dari tangga rumah kami kerana terkejut dengan seekor kambing yang tiba-tiba keluar dari bawah rumah. Kesannya dahiku luka dan parutnya masih nampak sehingga sekarang. Bukan itu sahaja, kakiku pernah termasuk di dalam roda basikal abah semasa dia menghantar aku ke tadika. Apalagi menangis la. Terpaksa abah menghantar aku balik ke rumah.

Banyak lagi kenangan yang terbayang di mata. Aku pernah dibawa abah dan mama ke Kuala Lumpur, melawat datuk dan nenek sebelah abah. Dan masih ku ingat kenangan kami bergambar di Tugu Negara. Sudah tentu menjadi satu kebanggaan bagiku. Dan yang paling tidak dapat dilupakan, muka ku yang monyok, menangis tak mahu bergambar.

Ternyata kenangan tinggal kenangan. Empat tahun selepas kelahiranku, keluarga kami diserikan dengan kehadiran adik lelakiku. Tapi kebahagiaan ini disusuli dengan kedukaan dan pengorbanan. Mama tidak lagi seperti dulu. Penyakitnya menyebabkan kami terpisah. Aku dipelihara oleh saudaraku sebelah abah. Manakala adikku yang masih bayi dijaga oleh saudara sebelah nenek. Kami membesar di dunia yang berbeza. Namun ikatan persaudaraan tak pernah pudar dan luntur. . . . .